Saturday

Peraturan wajibkan ‘skirt’ rendahkan maruah wanita & Islam

Isu skirt : BAM harus bertanggungjawab


Assalamualaikum semua :)


Didoakan moga semuanya dalam keadaan sihat-sihat belaka. Kepada yang telah menamatkan peperiksaan jangan lupa untuk terus-berterusan bertawakkal kepadaNya dan kepada yang masih ada kertas yang berbaki lajukan pecutan anda mengulangkaji pelajaran. Sesungguhnya menuntut ilmu antara bahagian kewajipan kita.


Namun begitu, di celahan menghadapi fatrah imtihan ini, saya terpanggil untuk mengulas serba sedikit tentang isu yang masih lagi hangat diperkatakan iaitu berkenaan peraturan mewajibkan skirt di kalangan pemain badminton dunia. Berikut merupakan ulasan ringkas saya. Mohon kalian utarakan pendapat juga ya :)



Peraturan wajibkan 'skirt' rendahkan maruah wanita & Islam


Tindakan Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang tegar dalam perlaksanaan peraturan mewajibkan pemakaian ‘skirt’ pendek bagi pemain wanita dalam sukan tersebut adalah disifatkan suatu penghinaan besar dan berterusan kepada kaum wanita.


Meski wujud penafian di peringkat BWF yang menjelaskan bahawa peraturan yang baharu dikuatkuasakan itu bukanlah bertujuan untuk mengeksploitasi imej pemain supaya kelihatan lebih seksi, namun kenyataan tersebut sebaliknya hanya bersifat kosmetik dan untuk berlapik semata-mata.


Beralasankan bagi menarik lebih ramai penonton dan sokongan penaja, ia seolah-olah meletakkan wanita sebagai aset dagangan yang boleh dikomersialkan, sekali gus merendahkan maruah wanita itu sendiri.


Saya secara peribadi berasa sangat kesal dan terkilan apabila melihatkan tiada sebarang respon di peringkat Persekutuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggesa peraturan BWF itu dikaji semula sebelum dikuatkuasakan kepada seluruh negara yang menganggotai organisasi dunia tersebut.


Rungutan kecil para pemain Malaysia yang kedengaran sebaliknya tidak diendahkan dan hanya dipandang sepi oleh sesetengah pihak. Pandangan yang mengatakan bahawa isu ini adalah isu terpencil dan tidak perlu diperbesar adalah pandangan yang tersasar sama sekali.


Tidak dinafikan lagi, wanita yang memiliki daya tarikan tersendiri secara berterusan dan besar-besaran dieksploitasi demi mendapatkan keuntungan perniagaan dan sebagainya.


Kadangkala timbul rasa hairan di kalangan kita, atas nama kebebasan, masyarakat secara berterusan disogok dengan fahaman untuk menjadikan wanita sebagai objek yang mempunyai nilai seksual untuk dijadikan bahan tarikan dan tontonan umum. Contoh yang paling mudah, apabila mempergunakan wanita yang berpakaian seksi ketika melancarkan produk-produk seperti penjualan kereta dan telefon bimbit.


Apakah barang dan produk itu tidak akan laku tanpa menonjolkan wanita yang berpakaian terdedah? Benarkah wanita itu memang digunakan semata sebagai pelaris produk?


Persoalan-persoalan inilah yang perlu dipertimbangkan oleh wanita Iagar mereka tidak dijadikan objek melariskan pasaran, atas alasan kebebasan. Itu sebenarnya sebuah manipulasi dalam bentuk lebih moden mengenai perhambaan wanita.


Isu penindasan kaum wanita ini sudah wujud sejak sekian lama namun natijahnya tetap sama bahkan semakin menjadi-jadi. Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1979, telah bersepakat atas konvensyen mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women).


Menyedihkan sekali, ia sebaliknya masih berlaku di belahan dunia tanpa menimbang-tara soal agama, ras mahupun suku negara. Sedangkan resolusi pencabulan hak asasi manusia di Iraq dan Palestin sana tidak dipedulikan apatah lagi isu diskriminasi wanita ini yang barangkali hanya sekadar picisan.


Dalam konteks Islam sendiri secara jelas melarang wanita membentuk kelompok yang memperjuangkan kebebasan memperagakan tubuh, bebas bergaul tanpa ikatan kekeluargaan atau mahram, pengasingan antara lelaki dan wanita, tanggungjawab dalam keluarga dan persekitaran sosial adalah demi menjamin wanita dan kelebihannya sentiasa terpelihara.


Meneliti pergerakan wanita di Malaysia, masih wujud pertubuhan yang berusaha mengubah persepsi masyarakat dengan memperlihatkan seolah-olah mereka memperjuangkan hak wanita. Hakikat sebenar tidak sebegitu, apabila mereka sebenarnya yang paling banyak memperlekeh dan merendahkan martabat wanita yang mulia di sisi Islam.


Melihatkan ini, saya khuatir ia akan menambahkan lagi kecelaruan di kalangan masyarakat. Lihatlah saja ketika mana pihak KTM mewujudkan pengasingan koc wanita, golongan ini secara lantang membantahnya dengan mengatakan ia lahir dari pemikiran yang kolot dan terikut-ikut dengan budaya masyarakat di negara Timur Tengah.


Sehubungan itu, saya menyeru rakan-rakan mahasiswa semua untuk sama-sama menyatakan bantahan anda terhadap peraturan ini sebagai bukti bahawa kalian merupakan ahli masyarakat yang prihatin dengan isu-isu perlindungan hak dan maruah wanita secara global.


Bahkan tidak keterlaluan untuk saya katakan, peraturan ini dilihat sebagai salah satu rentetan daripada pelbagai siri penghinaan Barat terhadap Islam dan saya yakin mereka akan tetap dengan agenda mengguris dan menjatuhkan hati Umat Islam yang semakin berpecah pada hari ini.


Saya secara peribadi ingin menegaskan di sini, isu membantah pemakaian ‘skirt; yang diperjuangkan ini bukanlah sekadar isu keselesaan mahupun ia menyalahi apa jua etika yang ada tetapi ia adalah suatu manifestasi penolakan kita selaku individu Muslim terhadap penindasan regim Barat yang berterusan merajai persepsi dunia. Maka untuk apa kita perlu ikut telunjuk mereka?


Sewajarnya juga bagi Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi serta mementingkan adab dan kesopanan tidak sekadar berdiam seribu bahasa apabila isu-isu melibatkan wanita seperti isu penguatkuasaan peraturan ini timbul.

Tiada guna jika hidup kita saban hari hanya sibuk dengan urusan peribadi, tetapi berterusan dalam membiarkan sahaja kerja-kerja kotor lagi licik oleh pihak Barat dan musuh Islam untuk menjatuhkan ke’izzahan dan kemegahan Islam itu sendiri.


Renunglah kembali setakat mana sumbangan kita kepada Islam sehingga saat ini, kerana ia menjadi kayu ukur yang sebenar sejauh mana kita berpegang dengan tali-tali agama Allah itu sendiri.


“Pada hari ini Aku telah menyempurnakan untuk kalian agama kalian, telah mencukupkan atas kalian nikmatKu, dan telah meridhai Islam menjadi agama bagi kalian” (Al-Maidah: 3).

1 comment:

H S ramli said...

salam alaik sis maisara,

Alhamdulillah menjadi orang pertama yang komen di laman kakak.
saya setuju dengan suara siswa akak berkaitan isu skirt ini. walaupun ia isu antarabangsa yang bersifat universal, hakikatnya kita ada hak untuk menyuarakan ketidakpuasan di atas sistem yang disusuan motifnya secara jelas untuk merendah warga islam ini.
Sekadar perkongsian ;)