Wednesday

Raya Tanpa Maksiat

Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud :

"Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid"


Lama tidak mengemaskini blog. Mohon maaf pada teman-teman yang menanti entri blog yang tak seberapa ini diisi :)


Ragam Raya

Ramadhan sudah pun melabuhkan tirainya. Masih ada rasa kesal yang bersisa kerna ada juga sela masaku yang terbuang begitu sahaja. Kini sudah menginjak Syawal. Hari di mana hari kemenangan untuk umat Islam yang berjaya menundukkan nafsu ammarah sepanjang Ramadhan.

Sudah menjadi kelaziman amalan ziarah-menziarahi hidup dan bersemarak pabila menjelangnya Hari Raya. Saat inilah semua akan berusaha mengambil cuti untuk bersama keluarga di kampung halaman. Si Ayah yang sibuk menguruskan bisnes akan cuba sedaya-upaya menyusun jadual kerja memastikan ada ruang untuk berkumpul bersama isteri dan anak-anak. Si ibu akan cepat-cepat menyiapkan persiapan raya untuk mencantikkan rumah dan menyediakan lauk-pauk agar anak-anak yang pulang dari rantauan dapat menjamu air tangan ibu tercinta. Semuanya baru. Baju baru, langsir baru, pinggan mangkuk baru, rak baru, kereta baru, menantu-mertua baru..maka bertambahlah cucu-cicit baru. Hehe. Begitu juga dengan abang, kakak dan adik..semua seronok menyambut Hari Kemenangan Umat Islam.

Aku, walaupun sudah pun menamatkan latihan industri sebulan yang lepas, cuti yang berbaki banyak memperuntukkan diri di kampus. Namun, walaupun sibuk menyempurnakan amanah yang terpikul di bahu, hati tetap jua merindu wajah ibu di rumah :)


Raya tanpa Maksiat

Hari Raya memang penuh keriangan tapi seperkara yang harus di muhasabah bersama ialah bagaimana dan sejauh mana perayaan ini di sambut. Sedarkah kita kadangkala banyak benar maksiat yang kita anggap berkara biasa..walhal ia mengundang dosa.

Apakah aurat wanita itu dijaga? …atau pakaian dan solekan yang berlebihan itu suatu kesempatan untuk menzahirkan ‘keriangan’ Hari Raya?

Bagaimana pula aurat sanak-saudara kita bila tinggal ramai-ramai bersama?

Dengan siapa kita menghulur tangan berjabat salam memohon kemaafan?

Adakah solat kita terjaga dek kerana terlalu leka?

Dengan keriangan yang kita definiskan ‘begini’, maka sambutlah kita dengan cara sebegini turun-temurun..zaman-berzaman. Dan waktu ini juga..usai solat sunat Aidilfitri, kelihatan sunyi sepi rumah Allah yang selalunya ‘bercahaya’ di malam-malam Ramadhan. Ya. Keadaan akan kembali seperti biasa.

Mudah-mudahan Allah mengangkat ibadat yang kita lakukan di bulan Ramadhan dan semoga dosa-dosa kita melebur dan dibersihkan seperti seorang bayi yang baru lahir. Amin.

SALAM LEBARAN & ANDAI ADA KHILAF SAYA MOHON SEJUTA KEMAAFAN

No comments: